Monday, June 21, 2010

Panduan Menyusukan Anak Untuk Ibu Yang Bekerja

Tidak ada susu yang lebih baik untuk bayi anda daripada susu ibu. Oleh itu, wanita digalak terus menyusukan bayi sepenuhnya walaupun terpaksa bekerja semula selepas habis pantang. Panduan ini bertujuan membantu ibu supaya terus menyusukan anak dengan susu ibu. Jika ada sebarang pertanyaan, silalah hubungi kami di PPPLM. Semuga anda mendapat manfaat daripada ruangan ini.


Cuti bersalin biasanya enam hingga sembilan minggu saja. Puan hendalah mengambil peluang daripada cuti ini untuk menyusukan bayi sepenuhnya. Kira-kira tiga minggu sebelum bekerja semula, barulah puan fikirkan tentang meneruskan penyusuan. Bertenanglah… Kami di PPPLM telah merangka satu program khusus untuk puan.
Program sebenar mengambil masa kira-kira 14 hari (dua minggu). Namun, puan dinasihatkan mula berlatih memerah susu sendiri tiga minggu sebelum bekerja. Mula dengan memerah susu untuk disimpan setiap kali lepas bayi menyusu atau pada waktu bangun pagi dan juga pada bila-bila masa puan rasa susu puan berlebihan. Jangan bimbang jika puan dapati perahan susu sedikit pada mulanya. Lambat laun puan akan memperolehi perahan susu yang lebih banyak (Sila rujuk pada cara menyimpan perahan susu ibu). Puan mula mengikut kiraan 14 hari sebelum mula bekerja. Puan mungkin menyimpan beberapa botol PSI di dalam peti sejuk puan. Program ini dirancang untuk membantu ibu yang bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Bagi ibu yang bekerja mengikut syif, puan boleh mengubahsuaikan mengikut masa puan bekerja.
HARI PERTAMA
Sarapan Antara jam 7.30 pagi hingga 9.30 pagi minta pengasuh memberi PSI pada bayi. Sebaik-baiknya bukan ibu yang memberi, bimbang bayi enggan menyusu dari botol yang dipegang ibu. Adalah digalak ibu memerah susu untuk disimpan pada waktu bayi diberi PSI oleh pembantu. Terus susukan bayi puan pada masa yang berikut dan sepanjang hari. Kekalkan jadual ini selama tiga hari.

SETERUSNYA
Puan telah berjaya mengikut program ini selama tiga hari. Syabas! Teruskanlah melatih bayi puan meminum perahan susu ibu secara berkala seperti jadual di bawah ini:- Selain daripada mengikut program ini, ibu-ibu perlulah juga mendapatkan pengetahuan mengenai :

  • i) cara memerah susu ibu
  • ii) cara menyimpan perahan susu ibu
  • iii) cara menggunakan perahan susu ibu
Kejayaan penyusuan bagi ibu bekerja bergantung kepada kejayaan ibu menyusukan bayi semasa dalam pantang lagi. Penyusuan ibu tidaklah sukar jika puan faham caranya. Ingatlah! Tidak ada susu yang lebih baik untuk kesayangan puan selain daripada susu ibu.
JADUAL LATIHAN PENYUSUAN BAYI SEBELUM BEKERJA SEMULA
Hari (dari mula Program) Masa (anggaran 2 - 3 jam sekali) Hari 1 - 3 Hari 4 - 6 Hari 7 - 9 Hari 11 - 13 Sarapan 7.30 - 9.00 Perahan susu dari botol Perahan susu dari botol Perahan susu dari botol Perahan susu dari botol Minum pagi 10.00 - 11.30 pagi Susu badan Perahan susu dari botol Perahan susu dari botol Perahan susu dari botol Makan tengah hari 12.00 - 1.30 petang Susu badan Susu badan Perahan susu dari botol Perahan susu dari botol Minum petang 2.00 - 4.00 petang Susu badan Susu badan Susu badan Perahan susu dari botol

NASIHAT BERGUNA UNTUK IBU
  • i) Proses stimulasi adalah penting untuk meneruskan laktasi atau pengaliran susu. Jadi, adalah penting ibu terus menyusu bayi pada masa ibu berada di rumah dan pada hujung minggu dan hari kelepasan. Payu dara anda akan berasa tegang atau lebihan takungan susu setiap kali selepas hari kelepasan/cuti. Ini disebabkan lebihnya stimulasi pada hari sebelumnya. Ini akan memudahkan lagi proses memerah susu pada hari itu. JANGAN harap dengan memerah susu saja boleh mengekalkan bekalan susu ibu.
  • ii) Perahan susu ibu (PSI) sebaiknya diberikan oleh pengasuh bayi.
  • iii) PSI boleh diberikan kepada bayi dengan menggunakan sudu kecil. Penggunaan botol atau putting biasanya akana membuatkan bayi 'keliru puting'.
  • iv) Minum air secukupnya dan makan makanan seimbang.
  • v) Cuba mengambil masa untuk berehat kerana ini penting untuk penghasilan susu ibu.
  • vi) Bangun dari tidur lebih awal (20 minit) dan susukan anak walaupun dia sedang tidur atau separuh tidur. Ini akan membuat bayi kenyang dan tenteram sementara ibu bersiap untuk pergi kerja.
  • vii) Bersarapan dengan makanan yang mengenyangkan dan susukan bayi sekali lagi sebelum keluar.
  • viii) Sementara menunggu masa untuk balik ke rumah, beritahu pengasuh supaya memberi bayi susu sekadar mencukupi keperluannya untuk menghilangkan rasa dahaga. Dalam masa yang sama, waktu ini ibu mungkin rasa 'penuh' di kedua-dua belah payu dara dan mengharapkan bayi menghisap sepuas-puasnya sebaik sampai di rumah.
  • ix) Ibu harus susukan bayi secepat mungkin ( 30 minit) sebaik sampai di rumah.
  • x) Susui bayi pada kedua-dua belah payu dara. Ini adalah amalan yang sangat digalakkan.
  • xi) Jika susu keluar dan membasahi baju, tekankan kedua telapak tangan pada payu daya beberapa minit. Kalukan secara berpeluk tubuh supaya tidak ketara. Gunakan alas baju dalam (nursing pads) dan amalkan menukarnya selalu bila basah. Ini boleh mengelakkan daripada sakit puting. Ketumpahan susu juga boleh berlaku apabila ibu teringkatkan bayi.
  • xii) Jangan biarkan payu dara penuh susu lebih daripada tiga jam tanpa memerahnya. Ini boleh membuatkan ibu tidak selesa dan boleh berlaku bengkak susu (engorgement). Perahkan susu sambil mengurut perlahan-lahan untuk melegakan rasa keperitan ini. Jika suka, demah dengan menggunakan tuala suam atau sejuk.
MEMERAH SUSU IBU MENGAPA?
  • · Ia menyebabkan bekalan susu ibu tidak putus.
  • · Ia adalah makanan terbaik untuk bayi.
  • · Ia mengurangkan risiko bayi terdedah kepada pelbagai penyakit dan alahan.
  • · Ia mengelakkan dan mengurangkan bengkak payu dara.
  • · Ia mengelakkan infeksi atau radang payu dara (mastitis).
BANYAK MANA ?
Memerah susu mungkin sukar dilakukan pada mulanya tetapi akan menjadi lebih mudah setelah dilakukan selalu. Jangan putus asa jika pada mulanya hanya memperolehi sedikit saja susu. Ibu-ibu yang sudah biasa memerah susu mereka boleh memperolehi bilangan susu yang banyak dalam 15- 20 minit. Kuantiti susu yang diperolehi berbeza-beza pada setiap masa perahan dibuat. Umur dan berat badan bayi juga akan menentukan kuantiti susu yang perlu ditinggalkan untuk bayi.

DI MANA ?
Di tempat kerja, memerah susu boleh dilakukan di mana-mana, asalkan tidak menarik perhatian ramai.

  • Di ruang pejabat yang tertutup.
  • Dalam bilik stor yang bersih.
  • Dalam surau atau bilik sembahyang.
Sekiranya anda terpaksa memerah susu di tempat yang anda khuatiri kebersihannya, gunakanlah pam susu. Ini membantu perahan susu ibu terus masuk ke dalam botol. Ini untuk menjamin kebersihan dan mengelak daripada terdedah kepada pertumbuhan bacteria.
CARA MEMERAH DENGAN TANGAN
Sebelum memerah susu ibu, urut payu dara anda terlebih dulu. Tekankan kedua-dua belah tangan secara mendatar di atas badan di kedua-dua sisi payu dara. Lengan mestilah tegak di tepi. Sambil menekan dengan kuat, gerakkan jari secara perlahan-lahan ke bahagian puting dan areola. Untuk mengeluarkan susu dari lactiferous sinus, tekan dengan perlahan-lahan bahagian areola menggunakan ibu jari dan jari telunjuk.
KEBERSIHAN
Susu perlu diperah ke dalam bekas atau botol yang telah disterilkan. Gunakan bekas/botol yang berlainan setiap kali perahan. Bila menggunakan pam susu, pastikan setiap bahagian pam yang bersentuhan dengan susu disteril pada setiap kali ia digunakan. Harus juga berhati-hati supaya pam susu tidak digunakan dengan sedutan yang terlalu kuat. Ini boleh menyebabkan puting berasa sakit.

PAKAIAN YANG SESUAI
Ibu akan berasa selesa sekiranya berpakaian longgar serta mudah ditutup dan diangkat dari bahagian depan. Pakaian yang berzip atau berbutang dari bahagian belakang adalah TIDAK sesuai untuk memerah susu. Baju kurung atau baju Kedah dan pakaian sepasang (blaus dan skirt/seluar) memang sesuai untuk ibu yang menyusu anak mereka.
CARA MENGGALAKKAN REFLEKS LET-DOWN
Refleks let-down atau pancutan susu adalah penting untuk ibu mendapatkan susu yang banyak semasa memerah. Takungan susu tidak akan keluar sekirnya keadaan ibu tidak tenteram dan releks. Proses let-down boleh berlaku bila ibu menggambarkan wajah bayinya sedang menghisap susu semasa memerah susu. Beberapa cara untuk mendapatkan refleks let-down ialah :

  • Releks dan perah susu di tempat yang sunyi dan jauh daripada segala kebisingan.
  • Letakkan tuala suam ( demah) di atas payu dara.
  • Urut payu dara secara perlahan-lahan dan cuba bayangkan wajah bayi anda sedang menyusu.
Jika memerah susu di rumah, tunggu selama 30 -40 minit selepas anda menyusui bayi sebelum membuat perahan. Proses ini memberi masa untuk 'kilang susu' membuat tambahan.
MENYIMPAN PERAHAN SUSU IBU
Sekiranya memerah susu di tempat kerja, sebaik-baiknya simpan perahan susu ibu di dalam peti sejuk. Jika di tempat anda bekerja tidak ada peti sejuk, bolehlah disimpan dengan menggunakan cara ini :- · Guna kotak 'piknik' yang boleh memuatkan bahan penyejuk (cooling element) dan sekurang-kurangnya dua botol susu. Ini adalah antara kaedah terbaik demi memastikan perahan susu ibu sentiasa sejuk sebelum tiba di rumah. · Gunakan ' flask' air panas yang diubahsuai supaya ianya sejuk. Mula dengan memasukkan ketulan-ketulan air ke dalamnya sehari/dua sebelum anda mula bekerja. Isikan juga ketulan ais sebelum dibawa ke tempat bekerja. Buangkan semua ketulan ais sebelum isi perahan susu ibu. Cara ini lebih mudah daripada berulang-alik ke rumah untuk menyusukan bayi. Ibu perlu memerah susu 1 - 2 kali di tempat kerja untuk di bawa balik. Perahan susu ibu ini boleh disimpan di dalam peti sejuk sebaik tiba di rumah untuk keperluan esok hari. Jika menggunakan 'flask' yang berisi ketulan ais, pastikan bila anda memerah kali kedua/ketiga, perahan susu ibu mesti disejukkan terlebih dulu sebelum dicampur dengna perhan susu ibu sebelumnya.

BEKAS SESUAI UNTUK MENYIMPAN PERAHAN SUSU IBU
  • Bekas atau botol plastik yang boleh tahan beku dan panas.
  • Botol susu berukuran 120 mls.
PERAHAN SUSU IBU YANG DISIMPAN DALAM PETI SEJUK DUA PINTU SEBAIK-BAIKNYA DIHABISKAN DALAM MASA DUA MINGGU MENYEJUKKAN SUSU Letakkan bekas-bekas yang berisi PSI ke tempat penyejuk (chiller) rak pertama - BUKAN di rak di tepi pintu. (Tahan 24 jam).
MEMBEKUKAN SUSU
Buatkan seperti di atas selama 30 minit baru masukkan ke dalam tempat pembeku (freezer). Catatkan tarikh pad bekas itu (tahan hingga 3 bulan). 




Di petik daripada : http://www.susuanibu-pk.gov.my/penyusuan-susu-ibu-14.htm

No comments:

Post a Comment

Pusat Penjagaan Kanak-Kanak SINAR CAHAYA

Pusat Penjagaan Kanak-kanak Sinar Cahaya dibuka untuk anak-anak Transit (Sebagai tempat rehat anak-anak bersekolah) serta anak-an...